Allah berfirman yang bermaksud:
"Di mana jua kamu berada, maut akan
mendapatkan kamu (bila sudah sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam
benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh." (Surah an-Nisa': 78)
Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa
seseorang manusia itu tidak boleh memisahkan dirinya dari ajal kematian.
Seseorang itu pasti akan menempuhi maut sama ada dia berada di medan perang atau di atas
hamparan. Orang yang benar-benar mulia mahu mati di medan perang sebagaimana sikap yang
ditunjukkan oleh Khalid Ibnul Walid r.a. ketika ia didatangi tanda-tanda mati
(naza'), beliau berkata:
"Sesungguhnya aku menyaksikan (menyertai)
peperangan yang banyak (sejak zaman Rasulullah s.a.w. sehingga zaman Umar Ibnul
Khattab menjadi khalifah). Tubuhku dipenuhi dengan parut-parut luka akibat
tusukan senjata musuh. Tetapi kini (dukacitanya) aku mati di atas hamparanku
sebagai seorang pengecut."
Khalid mengharapkan mati syahid di medan peperangan tetapi Allah menentukan dia mati di atas hamparan
permaidani di rumahnya bukan di medan perang,
menandakan bahawa ajal ditetapkan oleh Allah, tiada siapapun boleh mengubahnya
walaupun seseorang itu mengharungi banyak medan
perang. Sesiapapun bila ditentukan matinya di sesuatu tempat dia akan pergi ke
tempat itu ketika sampai ajalnya. Ini adalah penentuan dari Allah SWT.
Maut akan memanggil kamu walaupun kamu berada
dalam 'Buruj Musyayyadah'. Ulama berselisih pendapat dalam mentafsirkan ayat
ini. Ada yang mengatakan ia bermaksud kota yang teguh dan
tinggi. Setengah ulama berpendapat yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah
singgahsana dan istana-istana. Seorang raja akan mati walaupun duduk di atas
singgahsana yang dikawal rapi dalam istana. Ulama' lain berpendapat ia
bermaksud berada dalam istana yang dipagari kota yang teguh.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan kalau mereka memperolehi kebaikan
(kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah," dan
kalau mereka ditimpa bencana, mereka berkata: "Ini adalah dari (sesuatu
nahas) yang ada padamu." (Surah an-Nisa': 78)
Ini adalah ucapan orang-orang munafiq yang hidup
dalam saf orang Islam. Ulama berkata yang dimaksudkan dengan kebaikan di sini
ialah suburnya tanaman, anak dan keluarga semuanya berada dalam keadaan sihat. Sebaliknya
apabila mereka ditimpa bencana seperti tanaman tidak subur, anak tidak sihat
atau meninggal dunia mereka pula berkata ini adalah sial dari Muhamad s.a.w.
Inilah ucapan pengikut Fir'aun ketika menentang Nabi Musa a.s. sebagaimana
diceritakan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Apabila mereka memperolehi kebaikan,
mereka berkata: "Kebaikan ini untuk kami semua," apabila ditimpa
kejahatan mereka pula berkata: "Ini adalah sial Musa dan pengikut-pengikutnya."
(Surah al-A'araf: 131).
Berkata setengah ulama' bahawa yang dimaksudkan
dengan kebaikan itu ialah kemenangan yang dicapai dalam Peperangan Badar manakala
yang dimaksudkan dengan keburukan itu ialah ujian yang diterima dalam
Peperangan Uhud. Dalam peperangan Badar, orang Islam mencapai kemenangan
walaupun berjumlah 313 orang sahaja. Mereka diberi kemenangan oleh Allah dan
dapat menawan musuh. Ketika itu golongan munafiq berkata: "Ini adalah dari
sisi Allah. Kami tidak boleh pergi ke medan
kerana keuzuran." Padahal mereka tidak berhasrat untuk berjuang
bersama-sama dengan orang-orang yang beriman dalam peperangan tersebut.
(Oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang)