BERDUSTA ialah perbuatan di mana seseorang itu
sengaja mahu memberi gambaran yang salah kepada orang yang
didustai. Dusta mungkin dilakukan secara tersurat mahu pun tersirat. Biasanya
dusta dilakukan dengan menggunakan kata-kata yang jelas berniat memberi
gambaran salah.
"Tak, tak, abang tak pergi kelab
dangdut." (padahal dia pergi)
"Tak, saya tak cakap apa-apa pasal mak
awak." (padahal dia bercakap)
"Kalau abang nak kahwin lagi,
kahwinlah." (padahal dia takkan setuju suaminya kahwin lagi).
Tetapi ada kalanya dusta dilakukan dengan cara
tidak berkata apa-apa. Apabila kita menyembunyikan sesuatu, sebenarnya kita berdusta kerana
dengan tidak berkata apa-apa, kita memberi gambaran yang salah. Perbuatan itu
sama salahnya dengan perbuatan berkata yang tidak benar. Sebagai contoh,
seorang suami pergi ke rumah urut, tetapi dia diam saja, tidak memberitahu isterinya.
Atau seorang isteri keluar dengan lelaki lain semasa bertugas di luar kawasan
tetapi dia diam saja. Kebanyakan dusta dilakukan dengan menggunakan kata-kata,
tetapi kebanyakan dusta seperti yang itu diiringi dengan dusta bahasa badan.
Sebagai contoh, semasa seorang suami berkata dia
tak pergi ke rumah urut, dia juga berlakon membuat 'muka bodoh' atau 'muka
sardin' untuk menutup dustanya, supaya isterinya percaya. Atau sekembalinya
seorang isteri daripada bertugas diluar kawasan di mana sewaktu dia di sana dia keluar dengan
lelaki lain, dia segera sembahyang dahulu sebelum berbuat apa-apa yang lain. Dia
berharap suaminya akan percaya bahawa seorang isteri yang sembahyang tentulah
tidak akan menyeleweng semasa bertugas di luar.
Berdusta bererti menutup kebenaran. Dusta
menyebabkan orang yang didustai tidak dapat memilih alternatif-alternatif lain.
Sebagai contoh, seorang suami yang tidak memberitahu isterinya bahawa dia mempunyai
rancangan berkahwin lagi bererti si suami tidak memberi peluang kepada isterinya untuk
memilih apa-apa alternatif yang mungkin dia akan pilih sekiranya dia tahu keadaan suaminya yang
sebenar. Dia mungkin boleh mengambil tindakan-tindakan untuk menghalang
rancangan suaminya, atau dia mungkin akan mengkaji semula kelemahan dirinya.
Tetapi kerana suaminya berdusta, dia tidak dapat melakukan itu semua.
Semua orang mempunyai hak membuat pilihan mereka
sendiri. Apabila kita berdusta kepada seseorang, ini bermakna kita memaksa
orang itu menerima pilihan kita. Apabila seseorang suami mengatakan bahawa dia
masih tetap mengasihi isterinya, padahal tidak, itu bererti dia tidak
membenarkan si isteri membuat pilihannya sendiri seandainya dia tahu perasaan
aminya yang sebenar. Setengah-setengah suami berdusta atas alasan 'demi
kebaikan isterinya'. Apabila dia berbuat begitu, ia bermakna si suami memaksa si isteri menerima
keputusan yang dibuat oleh si suami bagi pihak si isteri. Ertinya, si suami
menafikan hak isterinya untuk membuat pilihan bagi pihaknya sendiri.
Tetapi ada kalanya memang si isteri sendiri
setuju untuk tidak mahu mendengar maklumat yang sebenar. Sebagai contoh,
si isteri tidak mahu suaminya memberitahu sejarah lampau hidupnya. Dalam keadaan begitu,
apabila si suami tidak memberitahu maklumat berkenaan perkara-perkara yang pernah
dilakukan pada masa dulu, maka itu bukanlah perbuatan berdusta.
Manusia berdusta kerana bermacam-macam alasan.
Walau bagaimanapun, menurut pakar-pakar psikologi, ada empat jenis dorongan
yang menyebabkan kita sanggup berdusta:
(1) Mendapatkan
keperluan asas:
Kita berdusta kerana hendak mendapatkan
benda-benda material yang penting kepada kita. Kita juga berdusta supaya kita
tidak kehilangan benda-benda itu. Wang dan harta benda termasuk di dalam
kategori ini. Sebagai contoh, seorang isteri meminta wang tambahan dengan
berdusta kepada suaminya bahawa wang belanja bulanan sudah habis padahal belum,
kerana dia mahu menggunakan wang itu untuk membeli beg tangan baru. Seorang
suami merahsiakan bahawa, selain gajinya dia juga mempunyai sumber-sumber
pendapatan lain kerana dia takut wang itu akan diminta oleh isterinya atau
isterinya akan mempersoalkan apa yang dia hendak buat dengan wangnya itu.
(2) Estim-diri:
Ada kalanya kita berdusta
kerana hendak menjaga estim-diri atau maruah kita. Sebagai contoh, kita tidak
mahu orang lain tahu bahawa kita mempunyai sifat-sifat buruk. Ada kalanya kita juga berdusta untuk
menaikkan estim-diri kita di mata orang yang kita dustai. Sebagai contoh, kita
berdusta dengan mengatakan kita seorang setiausaha, padahal kita cuma seorang
kerani. Ada kalanya, kita mungkin berdusta kerana hendak
menunjukkan gambaran seolah-olah kita adalah seorang yang berkebolehan atau
berkedudukan baik. Sebagai contoh, kita membeli kereta besar walaupun kita tak
berapa mampu kerana kita hendak memberi gambaran kita datang daripada kelas sosial yang tinggi, dan
kita layak diterima sebagai rakan pergaulan oleh mereka yang menganggotai kelas
itu.
(3) Perhubungan:
Kadangkala kita berdusta kerana hendak menjaga
hubungan baik yang ada. Ramai suami berdusta kepada isteri kerana hendak
mengelakkan krisis rumahtangga. Ada
pula masanya kita berdusta
untuk menamatkan hubungan yang tidak kita ingini. Sebagai contoh seorang suami
berdusta supaya isterinya tidak suka lagi kepadanya, supaya dengan itu dia
dapat membuka jalan perpisahan. Ada
pula masanya kita berdusta kerana tidak mahu memenuhi kehendak atau permintaan
orang itu. Ramai suami berdusta kerana tidak mahu melayan permintaan isteri.
Sebagai contoh, isteri meminta set meja makan baru dan sami berdusta mengatakan
dia tidak ada wang. Ramai pula isteri berdusta untuk memutar-belit suami supaya
mahu menuruti kehendak mereka. Kadang-kadang kita juga berdusta kerana hendak
mengawal perjalanan sesuatu perbualan. Sebagai contoh, suami berdusta kepada
isteri kerana tidak mahu isterinya bertanya tentang hal-hal yang disorokkan,
ataupun supaya perbualan itu menuju arah yang dia mahu sahaja.
(4) Kepuasan
diri:
Sekali-sekala kita berdusta kerana hendak
memuaskan diri sendiri. Sebagai contoh, kita berdusta kerana hendak
berseronok-seronok dengan cara melawak dan bergurau senda, atau kerana hendak
melebih-lebihkan cerita kita. Kajian-kajian yang pernah dibuat oleh pakar-pakar
psikologi mendapati kebanyakan orang berdusta untuk kepentingan mereka sendiri.
Di dalam suatu kajian, daripada 322 pendustaan, 75.8 peratus menguntungkan si
pendusta, 21.7 peratus menguntungkan orang yang didustai dan 2.5
peratus menguntungkan orang lain.
Katakanlah pada satu hari seorang isteri memakai
baju baru yang tidak sesuai dengan potongan badannya. Dia bertanya kepada
suaminya sama ada baju itu cantik apabila dipakai. Si suami ada beberapa
pilihan:
a) Suami boleh memberi jawapan neutral seperti
mengatakan fesyen itu unik atau dia belum pernah melihat fesyen yang begitu
sebelumnya. "Boleh tahan! Abang tak pernah tengok orang lain pakai fesyen
macam tu." Perbuatan si suami adalah berdusta. Si isteri mungkin menyangka
suaminya betul-betul menganggap baju itu cantik dan dia kelihatan cantik
apabila memakainya.
b) Suami boleh menunjukkan rasa terkejut dengan
berkata dia tak pernah nampak baju yang lebih hodoh daripada baju itu.
"Masya Allah! Teruknya baju awak tu." Kata-kata si suami itu bukan
dusta tetapi ia melukai perasaan si isteri.
c) Suami boleh berkata baju itu sangat cantik
dan sangat sesuai dengan isterinya. Perbuatannya itu adalah berdusta.
"Cantiknya! Baju macam inilah yang elok untuk awak." Mungkin si suami
berniat baik pada waktu itu. Tetapi pada masa depan, perbuatan itu boleh jadi
kejam. bayangkan apabila si isteri memakai baju itu ke majlis rasmi, apa
kesannya.
Dalam keadaan seperti di atas, tentukan dahulu
apa niat si isteri bertanya kepada suaminya berkenaan baju itu. Sekiranya
niat si isteri ialah meminta pendapat suaminya berkenaan baju itu, maka si suami patut
menilai baju itu sahaja. Dia boleh berkata baju itu tidak sesuai dengan
isterinya. "Baju tu cantik tapi tak sesuai dengan awak." Jangan pula
si suami menilai peribadi isterinya. Sebagai contoh jangan berkata: "Awak
nampak tua dengan baju itu." "Awak nampak macam penari dangdut!"
"Awak nampak macam pokok bunga berjalan!" Sebaliknya suami boleh
berkata: "Baju lain lebih seusia dengan awak." "Awak nampak
lebih cantik dengan baju lain."
Sekiranya si isteri sebenarnya mahu mendengar
pujian daripada suaminya, maka si suami patut memberikan pujian yang mahu
didengar oleh si isteri. Dalam keadaan begini, baju itu tidak penting. Ia cuma
alasan si isteri meminta pujian daripada suami. Jadi, si suami patut memberikan
pujian kepada si isteri: "Awak manis." "Awak cantik."
Kata-kata suami seperti itu bukanlah suatu dusta. Dia hanya memberi apa yang
diharapkan oleh isterinya.
Di dalam Islam, kita dibenarkan berdusta hanya
untuk tiga tujuan. Pertama untuk
menyelamatkan orang yang tidak bersalah daripada dianiaya. Kedua untuk mendamaikan dua orang yang bermusuhan. Ketiga untuk menjaga hubungan baik
antara isteri-isteri.
(Dipetik dari Utusan Malaysia Online Oktober 15,
1997)