Hadiah Terbaik dan Terburuk
Seorang ibu yang dermawan telah menghadiah seekor kambing kepada Loqman
al-Hakim seraya berpesan: "Sembelihlah kambing ini dan berikan saya
bahagian yang terburuk daripadanya untuk saya makan." Setelah
disembelih, dikirimkan kepada ibu tersebut hati dan lidah kambing itu.
Beberapa
hari kemudian, ibu itu sekali lagi menghadiahkan seekor kambing dan
berpesan agar sesudah disembelih dikirimkan juga kepadanya sebahagian
daripadanya. Pada kali yang kedua ini, bukan lagi bahagian yang
terburuk yang dipesankannya, tetapi dimintanya bahagian yang terbaik
daripada kambing itu.
Setelah kambing disembelih, Loqman
mengirim hati dan lidah juga kepada ibu yang dermawan itu. "Kenapakah
tuan mengirimkan kepada saya lidah dan hati ketika saya meminta
bahagian yang terburuk, dan kenapakah yang itu juga dikirimkan ketika
saya memesankan bahagian yang terbaik daripadanya?" tanya ibu tersebut
kepada Loqman. Loqman menjawab: "Hati dan lidah amatlah baik ketika
baiknya dan apabila keduanya buruk maka amatlah pula buruknya."
Mendengar
jawapan itu, mengertilah ibu itu akan maksud Loqman, kerana hati dan
lidah itu adalah pokok segala kebaikan; begitu juga sebaliknya dari
hati dan lidah itu terbit segala kejahatan dan keburukan.