Penglibatan muslimah di dalam gerakan dakwah
adalah merupakan sesuatu yang tidak dapat dinafikan lagi. Contoh yang
dibuktikan oleh muslimah yang terdahulu seperti saiyidatina Khadijah binti
Khuwailid sebagai manusia pertama yang menyahut seruan Iman dan Islam,
saiyidatina Aisyah sebagai gedung ilmu dan pusat sumber maklumat, Ummu Ammarah
Nusaibah binti Ka'ab yang bermati-matian di medan Uhud dan Sumaiyah Ali Yaasir
sebagai orang yang pertama mendapat gelaran syahid adalah bukti yang jelas
bahawa peranan muslimah adalah jauh lebih luas dari hanya sekadar beroperasi di
dalam rumahnya.
Fenomena yang mengancam pemikiran ramai manusia
dalam memisahkan peranan muslimah di dalam medan perjuangan Islam adalah merupakan
sebahagian dari gejala rawathib al jahiliyyah (karat-karat jahiliyyah) dan juga
rawathib al isti'mariyah (karat-karat penjajahan) yang begitu dominan di
seluruh pelusuk dunia Islam. Akibat dari gejala ini, salah faham terhadap Islam
berlaku dan Islam ditohmah sebagai satu ajaran agama yang menindas dan
memperlekehkan kaum wanita.
Sifat Islam sebagai Deen ul Fitrah (agama fitrah)
yang datang untuk menjadi panduan kepada manusia samada lelaki mahupun
perempuan adalah merupakan satu bukti yang nyata bahawa tanggungjawab sebagai
khalifah Allah di atas muka bumi ini dipikul bersama oleh muslimin dan
muslimat. Kebanyakan perintah-perintah yang terdapat di dalam Al-Quran adalah
bersifat umum yang merangkumi lelaki dan perempuan dan Islam tidak sama sekali
pun membezakan antara mereka dari segi tanggungjawab di atas muka bumi mahu pun
pembalasan di akhirat nanti.
Setelah kita berusaha untuk membentuk diri kita
dengan sesempurna mungkin untuk memikul tanggungjawab ini, setiap individu
muslimah mestilah berusaha untuk memanggil ke arah perlaksanaan cita-cita Iman
dan Islam tadi ke dalam realiti. Keindahan dan kesempurnaan Islam tidak akan
terbukti kalau hanya setakat teori dan cita yang tidak dicernakan ke dalam
waqi' (realiti). Tugas mencernakan ajaran Islam dan mengajak manusia bersama
untuk beriman inilah yang dikenali sebagai da'wah.
Di dalam konteks da'wah, di sana ada 3 marhalah (peringkat) yang mesti
dilalui untuk menjamin keberkesanan usaha yang dilakukan. Marhalah2 tersebut
adalah marhalah ta'rif (pengenalan), marhalah takwin (pembentukan), marhalah
tanfiz (perlaksanaan). Di sini kita akan cuba menghuraikan peranan muslimah
sebagai da'ieah dalam mengisi ketiga-tiga marhalah tadi.
1. MARHALAH
TA'RIF
Yang dimaksudkan sebagai ta'rif adalah pengenalan
dalam konteks penyediaan individu muslimah yang faham, beramal dengan apa yang
difahaminya dan seterusnya berjihad dan beristiqamah pula dalam jihadnya. Untuk
mengisi tuntutan ini maka hendaklah setiap muslimah tadi berusaha untuk:
1.1) Melahirkan insan yang bertaqwa
kepada Allah dengan pembentukan iman dan aqidah yang benar. Proses ini berlaku
apabila muslimah tadi berusaha dan bersungguh dalam ibadat dan hubungannya
dengan Allah azza wa jal melalui ibadat dan ketaatan seperti yang telah diwajibkan.
1.2) Melahirkan insan yg faham
akan konsep Iman dan Islam yg menyeluruh sepertimana firman Allah:
"Wahai
orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah
kamu mengikut jejak-jejak syaitan". Surah Al Baqarah ayat 208.
1.3) Melahirkan insan yang
memiliki as syakhsiyah al islamiyyah (personaliti sebagai seorang Muslim) yg
contoh ikutannya adalah Rasulullah SAW. Syakhsiyah ini adalah berbentuk kamil
wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi) dan setiap penda'wah hendaklah menyedari
bahawa kita sekarang sedang membawa risalah dan setiap gerak geri kita adalah
diperhatikan. Pastikanlah bahawa syakhsiyah kita tadi tidak akan menimbul
fitnah terhadap Islam yang hendak kita bawa dan tarbiyyah yang sedang kita
lalui.
2. MARHALAH
TAKWIN
Setelah menjalani proses ta'rif, muslimah
hendaklah berpindah pula kepada marhalah takwin. Di dalam marhalah ini mad'u
(mereka yang dida'wahkan) hendaklah dibawa mengenali konsep amal jamaie
(beramal dan bergerak dalam bentuk jamaah). Islam tidak pernah dan tidak akan dapat
ditegakkan oleh individu atau pengasingan diri dari masyarakat. Individu tadi hendaklah
memiliki dan mengujulkan intima' dan iltizam (commitment) yang menyeluruh
terhadap Islam, da'wah dan harakah Islamiyyah (gerakan Islam).
Dalam peringkat ini hendaklah dibentuk sifat
masuliyah fardiyah (tanggungjawab) yang tinggi. Masuliyah ini adalah masuliyah
yang melahirkan sifat muraqabah (merasakan bahawa Allah sentiasa
memerhatikannya) yang akan mengakibatkan individu tadi jujur pada dirinya,
jujur pada Allah dan jujur pada perjuangan yang didokonginya. Kita tidak mahu
dalam marhalah ini akan timbul permasalahan furu' (cabang) dibawa menjadi isu
yang mengakibatkan kita menjadi golongan al mutasaqitin (golongan yang gugur).
Dalam marhalah ini kewujudan baitul muslim (rumah
tangga Islam) sebagai nucleus terpenting dalam gerakan Islam adalah merupakan
satu tuntutan. Muslimah berperanan untuk memastikan rumahtangganya hidup dalam
suasana Islam dalam semua aspek. Dalam hubungan ini Muslimah berperanan untuk
menjadi zaujah as solehah (isteri yang solehah), yang taat dan pendorong utama
kepada perjuangan Islam suaminya dan juga berperanan besar untuk memastikan
tarbiyatul aulad (pendidikan anak-anaknya) berjalan dalam suasana yang Islamik.
3. MARHALAH
TANFIZ
Marhalah ini adalah marhalah yang terpenting yang
merupakan ujian sebenar terhadap commitment seseorang muslimah terhadap
pengisian dan kefahamannya terhadap Islam. Islam yang hanya sekadar diteorikan
tidak akan mendatangkan sebarang hasil. Dalam marhalah ini, 3 unsur utama yang
harus diperhatikan adalah:
3.1. Al Iman al 'amiq: Iman
yang mendalam.
3.2. Tanzim ad daqiiq:
Penyusunan organisasi gerak kerja yang teratur lagi menyeluruh.
3.3. Al amal mutawasil: Kerja
dan komitmen yang dibuat berterusan dan bukan hanya kerana masa yang tertentu,
kawan atau suasana.
Dalam marhalah ini, muslimah tidak lagi dapat
menyendirikan diri untuk membawa risalah Islam. Panduan Al Quran dengan jelas
memerintahkan pejuang Islam untuk berada dalam satu saf yang tersusun rapi:
"Sesungguhnya
Allah mengasihi mereka yang berjuang di jalanNya dalam satu saf seolah-olah
batu-bata yang tersusun rapi..." AS SAFF: 3.
Marhalah ini mengajak muslimah untuk keluar di
tengah-tengah medan
dan bersama mengangkat panji-panji Islam untuk ditegakkan di tengah-tengah
kejahilan ummah.
Marhalah ini adalah marhalah muwajahah (berdepan)
dengan realiti perjuangan da'wah yang akan mengajak kepada pengorbanan yang
sebenarnya. Tidak ada di sana
sebarang perjuangan yang tidak ada pengorbanan. Pengorbanan dalam da'wah adalah
terlalu luas dan banyak bidangnya yang mengajak kita untuk mengurus dan
mentadbir diri kita ini dengan sebaik-baik tanzim.
PENUTUP
Setelah kita melihat segala tuntutan ini dengan
jelas menunjukkan bahawa tanggung jawab yang ada di bahu kita adalah lebih
banyak dari kemampuan yang kita miliki, maka dengan demikian hadith Rasulullah
SAW: "Ilzim jama'tul muslimin wa ima
mahum"; Lazimkanlah diri kamu dengan jemaah Islam dan Imam (pimpinan)
mereka, adalah merupakan satu komitmen yang jelas mengajak kita semua untuk
bersatu bersama jemaah.
Ikrar sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku
dan matiku hanya kerana Allah akan hanya teruji kalau kita bersama dengan
harakah Islamiyyah. Perjuangan yang tidak bersifat haraki adalah perjuangan yang
tidak menepati contoh yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan cita-cita Islam tidak
akan tercapai kalau kita hanya menyatakan bahawa Islam itu benar, indah dan
sempurna tetapi kebenaran, keindahan dan kesempurnaan itu tidak kita jihadkan
dan kita da'wahkan.
AL FADHIL USTAZ NASARUDDIN MAT ISA
Posted at 2/24/2007 8:24:50 pm by
putrihanan