Firman Allah yang bermaksud, "Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."
Dalam konteks ini juga Rasulullah s.a.w pernah bersabda, hadis diriwayatkan oleh Muslim dan lain-lain, mafhumnya: "Janganlah seorang mukmin membenci wanita mukminah. Jika ia membenci sifatnya tetapi mukmin yang lain menyukainya."
Jelaslah disini walaupun kita tidak menyintai suami atau isteri, atau sesiapa sahaja janganlah menunjukkan rasa atau sikap benci. Seboleh-bolehnya cubalah menjalinkan hubungan baik kerana mungkin ada sesuatu kebaikan padanya yang kita tidak ketahui.
Perkahwinan adalah satu ikatan yang kuat, yang mampu mendekatkan diri kepada Allah, mengembalikan ketenangan jiwa dan juga satu perjanjian yang perlu dijaga dengan sebaik mungkin. Mungkin atas dasar inilah, Allah tidak membenarkan suami atau isteri berlaku sewenang-wenangnya di atas sebuah perkahwinan. Namun malangnya, kebanyakan daripada kita apabila sudah tidak menyintai suami atau isteri, maka lahirlah pelbagai kerenah yang boleh menyakitkan setengah pihak. Sedangkan Allah telah berfirman, "apabila kamu tidak menyukai mereka (maka bersabarlah)."
Di zaman sahabat Rasulullah s.a.w telah berlaku peristiwa seorang lelaki yang mahu menceraikan isterinya lantaran dia sudah tidak mencintai isterinya itu. Perasaan itu telah disampaikan kepada Saidina Umar Al-Khattab r.a.
"Celakalah kamu! Benar-benarkah kamu mendirikan perkahwinan hanya berdasarkan pada rasa cinta? Di mana letaknya peranan kepimpinan dan tanggungjawabmu sebagai lelaki?" Begitulah kata-kata Saidina Umar Al-Khattab r.a bagi membayangkan betapa dia tidak bersetuju dengan hasrat lelaki berkenaan.
Dalam satu kes yang lain, seorang lelaki ingin mengadu mengenai moral isterinya kepada Saidina Umar Al-Khattab r.a. Setibanya didepan pintu rumah Saidina Umar Al-Khattab r.a, dia terpegun mendengar isteri Saidina Umar Al-Khattab r.a sedang mengomel sedangkan Saidina Umar Al-Khattab r.a tidak menjawab sepatah pun. Lelaki tersebut terus membatalkan hasratnya kerana terlintas dalam fikirannya jika Saidina Umar Al-Khattab r.a yang terkenal dengan tegas dan kuat serta digelar Amirul Mukminin boleh bersikap seperti itu, apatah lagi dirinya yang tiada apa-apa itu. Bagaimanapun, Saidina Umar Al-Khattab r.a pantas keluar apabila melihat tetamunya ingin pergi dan bertanya kenapa mengambil keputusan demikian.
Lantas dijawab oleh lelaki berkenaan, "Wahai Amirul Mukminin, saya datang sebenarnya ingin melaporkan mengenai keburukan perangai isteri saya tetapi apabila mendengar isteri tuan melakukan hal yang sama maka saya membatalkan hasrat tersebut."
Jawab Saidina Umar Al-Khattab, "Wahai temanku, saya menahan diri daripadanya kerana ada beberapa hak yang telah dia tunaikan yang seharusnya menjadi kewajipan saya. Dia memasak, membuat roti, memcuci pakaian, menyusukan anak saya, yang sebenarnya bukan kewajipannya. Saya diam kerana memang saya yang bersalah."
Berdasarkan cerita di atas, adalah jelas bagi kita bahawa walaupun sudah tiada perasaan cinta dalam lubuk hati, janganlah melayari bahtera rumahtangga dengan sikap yang tidak sewajarnya.
(petikan dari majalah SERI, Februari 1993)
Posted at 12/31/2006 8:58:05 pm by
putrihanan